Cari:  
  Dari:   Hingga:  
  LANGKAH-LANGKAH BAGI MENJAMIN KESTABILAN KEWANGAN UNTUK PEKERJA MUDA
01/11/2012
 
 
 

Pusat Penyelidikan dan Sumber Pengguna (CRRC) dengan kerjasama Citi Foundation juga telah melancarkan Laporan Kaji Selidik Perilaku dan Tabiat Kewangan Dalam Kalangan Pekerja Muda  pada 5 Julai 2012 yang lalu. Kajian ini melaporkan 47% pekerja muda berumur 18 hingga 35 tahun mengalami masalah hutang yang serius sehingga terpaksa membelanjakan 30 peratus atau lebih daripada pendapatan kasar setiap bulan untuk membayar hutang. Kajian tersebut  juga mendapati 37 peratus daripada golongan ini, mengalami masalah hutang akibat daripada  tabiat berbelanja di luar kemampuan mereka, manakala 15 peratus pula tidak mempunyai tabungan langsung.

Hal ini menunjukkan kesedaran pengguna muda dalam pengurusan kewangan sangat membimbangkan dan perlu ditangani dengan segera. Berikut adalah langkah-langkah yang perlu dilakukan bagi mendorong pengguna muda ke arah kestabilan dan keselamatan kewangan pada masa hadapan:-

Mengutamakan dan tumpukan kepada perkara-perkara penting

Pengguna muda yang baru memasuki alam pekerjaan sudah tentu memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dalam menguruskan kewangan peribadi pada peringkat awalnya. Anda perlu menyenaraikan perkara-perkara yang paling utama yang ingin anda lakukan untuk menjamin kehidupan anda pada masa hadapan. Buat pilihan yang terbaik dan ambil langkah untuk sentiasa meningkatkan kedudukan kewangan anda. Kenal pasti matlamat, keperluan dan kehendak anda dan senaraikan mengikut keutamaan. Lakukan dengan jujur dan sabar kerana ia melibatkan keputusan kewangan anda akan datang.

Sentiasa membuat perancangan bagi setiap perkara

Merangka anggaran perbelanjaan adalah langkah terbaik untuk berbelanja secara bijak. Anda boleh menentukan keperluan anda dengan sumber kewangan yang terhad dan  kehendak yang tidak terhad. Menurut Wong Keng Leong, Pengarah dan Pengurus bagi Standard Financial Planner Sdn Bhd, anda hendaklah menentukan anggaran perbelanjaan anda mengikut nisbah iaitu 20:10:10:60. Tentukan 20 peratus daripada pendapatan anda untuk pelaburan jangka panjang, 10 peratus untuk simpanan (termasuk simpanan kecemasan), 10 peratus lagi untuk perlindungan berisiko, seperti insurans dan 60 peratus untuk keperluan peribadi anda. Walau bagaimanapun, anggaran perbelanjaan anda hanya akan berjaya sekiranya anda berdisiplin mematuhinya. Langkah terbaik adalah bayar untuk diri anda dahulu. Ia bermaksud anda akan menyimpan sebahagian daripada gaji anda ke dalam akaun yang berasingan sebelum anda berbelanja.

Rancang apabila melibatkan perbelanjaan yang besar

Anda perlu merancang sebelum membuat keputusan melibatkan perbelanjaan yang besar, seperti membeli rumah, kereta, melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi dan lain-lain lagi. Anda perlu mendapatkan maklumat-maklumat berkaitan secara terperinci agar anda tidak ditipu oleh pemaju atau agen penjual yang hanya ingin mengaut keuntungan semata-mata.

Memberi wang kepada ibu dan bapa

Walaupun ibu bapa anda tidak mengharapkan pengorbanan mereka semasa membesarkan anda dibalas dengan wang., Namun sebagai anak yang berjasa, anda perlu memperuntuk wang kepada ibu bapa. Sediakan tabung khas untuk ibu bapa anda pada masa hadapan, atau sekiranya diperlukan ketika kecemasan. Jumlah pemberian tersebut bergantung kepada kemampuan kewangan anda. Sekiranya anda tinggal bersama-sama keluarga, bantulah mereka membayar bil-bil utiliti atau membeli barang keperluan rumah. Hal ini dapat membantu anda, merancang perbelanjaan lebih baik apabila memasuki alam rumah tangga kelak.